Wednesday, October 30, 2013

Bekas Ketua Pengarah Imigresen dijel 6 tahun


KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don dihukum penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas disabitkan bersalah menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan berhubung meluluskan visa pekerja Bangladesh, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin memutuskan demikian selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Wahid untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sebaliknya diarahkan menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Sekiranya gagal membayar denda, Wahid juga bakal berdepan hukuman penjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Wahid didakwa menerima suapan RM60,000 daripada Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran meluluskan permohonan bagi 4,377 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki Malaysia.