Pages

Sunday, January 18, 2009

Malaysiakini Warga Asing Boleh Fail Tuntutan

KUALA LUMPUR, 18 Jan-- Warganegara asing turut memanfaatkan perkhidmatan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, dengan 85 daripada mereka memfailkan tuntutan terhadap peniaga degil dan penyedia perkhidmatan pada tahun lepas.

Pengerusi tribunal Rungit Singh berkata tuntutan itu kebanyakannya membabitkan produk dan perkhidmatan berkualiti rendah termasuk mengenai harga, keadaan produk, terma yang samar-samar dan tiada jaminan.

Katanya langkah membenarkan warga asing membuat tuntutan melalui tribunal itu bertujuan untuk meningkatkan keyakinan mereka terhadap sektor perniagaan tempatan dan memastikan perniagaan beretika dengan menghapuskan peniaga degil.

Dalam temu bual dengan Bernama, beliau menjelaskan tribunal itu merupakan badan pengadilan sama seperti mahkamah sivil kecuali prosedurnya dipermudahkan untuk orang awam mendapatkan keadilan melalui kaedah yang mudah, murah dan cepat.

Untuk memfailkan kes, mereka hanya perlu mengisi borang yang mudah dan mendaftarnya dengan tribunal dengan bayaran RM5.

Perbicaraan dibuka kepada awam dan dikendalikan sendiri oleh penuntut dan responden tanpa perlu melantik peguam.

Tahun lepas, Rungit Singh berkata tribunal menerima 7,440 permohonan tuntutan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM35.9 juta.

"Setakat ini, 6,150 tuntutan telah diselesaikan dengan pembayaran bernilai RM9.7 juta," katanya.

Tuntutan terbahagi kepada dua kategori -- barangan dan perkhidmatan.

Bagi kategori barangan, tuntutan tertinggi adalah berkaitan transaksi "gores dan menang", pembelian dan penjualan kereta dan pembelian telefon bimbit.

Bagi kategori perkhidmatan, tuntutan tertinggi ialah terhadap agensi pelancongan, skim perkongsian masa dan bengkel kereta.

Rungit Singh berkata statistik yang dikumpulkan oleh tribunal itu mendapati pengguna dalam kumpulan umur 25 hingga 35 tahun merupakan golongan yang paling banyak mengemukakan tuntutan.

"Ini menunjukkan golongan muda lebih sedar mengenai hak mereka sebagai pengguna dan mendapatkan keadilan di tribunal," katanya.

Tribunal itu mempunyai pejabat di semua ibu negeri di negara ini dan bersidang secara tetap.

Tahun lepas ia bersidang sebanyak 641 kali.

-- BERNAMA

No comments: