Sunday, January 18, 2009

Pemimpin PAS Jangan Angkuh Malaysiakini

KOTA BAHARU, 18 Jan -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin PAS dan komponen Pakatan Rakyat tidak mengeluarkan kenyataan yang angkuh berikutan kemenangan PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata mengeluarkan kenyataan negatif seperti itu tidak akan membawa gambaran yang baik kepada parti dan menjejaskan persepsi masyarakat terhadap PAS.

"Jangan buat kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan kerana tujuan kita buat kerja (memperjuangkan parti) adalah kerana dakwah.

"Kalau dia (pihak lawan) terluka, kita nak paut (pikat semula) dia tidak boleh. Jadi kita kena ingat, kerja kita adalah untuk akhirat," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam. Calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan

Nik Abdul Aziz yang bersyukur dengan kemenangan PAS itu berkata kemenangan itu adalah petanda perjuangan PAS mula difahami oleh semua kaum termasuk penyokong DAP.

Beliau berkata ini menunjukkan yang mereka memahami bahawa PAS dan Islam tidak menolak kemajuan seperti digembar-gemburkan oleh pihak tertentu sebelum ini.

Ini dibuktikan sendiri dengan kemajuan dan pembangunan yang dibawa PAS di Kelantan mengikut acuan Islam sejak 1990, katanya.

-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Salam,sahabat. Saya setuju dgn pandangan TGNA. Kita harus jadi low prifile.